Majlis Penasihat Kerajaan

Kenyataan Media

Majlis Penasihat Kerajaan (Majlis) telah ditubuhkan pada 12 Mei 2018 untuk menasihati Kerajaan Malaysia tentang isu-isu ekonomi dan kewangan.

Reformasi ekonomi dengan sendirinya tidak dapat membawa perubahan yang dikehendaki melainkan disertai oleh reformasi institusi.

Untuk tujuan ini, satu Jawatankuasa Pembaharuan Institusi telah ditubuhkan dan ahli-ahlinya adalah –

  1. Dato’ KC Vohrah, Hakim Mahkamah Rayuan yang telah bersara;
  2. Dato’ Mah Weng Kwai, Hakim Mahkamah Rayuan yang telah bersara dan Pesuruhjaya SUHAKAM;
  3. Brigedier Jeneral (bersara) Dato’ Mohamed Arshad Raji, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan;
  4. Profesor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi, Profesor Undang-undang Tunku Abdul Rahman, Universiti Malaya; dan
  5. Dato’ Ambiga Sreenevasan, Presiden HAKAM.

Jawatankuasa Pembaharuan Institusi ini akan mengemukakan dapatan dan cadangannya kepada Majlis. Majlis ini akan kemudiannya menyampaikan laporannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi En. Endie Shazlie Akbar. Tel: 012-2986060

14 Mei 2018

SIARAN MEDIA

Kenyataan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Institusi

Majlis Penasihat Kerajaan 

Jawatankuasa Pembaharuan Institusi menghulurkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada orang awam dan pihak-pihak berkepentingan yang telah menawarkan bantuan mereka kepada Jawatankuasa ini.

Terdapat beberapa individu dan kumpulan yang didekati oleh Jawatankuasa kami minggu lepas untuk mengemukakan representasi-representasi bertulis mereka pada 23 Mei 2018. Sebenarnya terdapat  beberapa yang telah melakukannya dan Jawatankuasa ini telah bermula mengkaji representasi-representasi mereka tersebut.

Jika perlu, beberapa individu dan kumpulan tersebut akan diminta untuk menghadiri perbincangan tertutup dengan Jawatankuasa pada tarikh-tarikh yang dijadualkan seperti berikut: Mei 28, 29, 30 dan Jun 1, 4, 8, 10, 12, 13, 18.

Bagi individu-individu dan kumpulan-kumpulan lain yang ingin memaklumkan Jawatankuasa ini mengenai institusi-institusi yang mempunyai kecacatan struktur atau institusi-institusi yang telah gagal untuk berfungsi menurut undang-undang atau institusi-institusi yang mempunyai pentadbiran yang lemah atau institusi-institusi yang mempunyai proses membuat keputusan tidak berkesan atau institusi-institusi yang mempunyai mekanisme pembetulan yang tidak mencukupi, sila serahkan representasi-representasi bertulis sebelum 28 Mei 2018 kepada Sekretariat, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi, di Level 32, Ilham Tower, Jalan Binjai, 50450 Kuala Lumpur, Malaysia, dan salinan emel kepada irc@jpm.gov.my.

Jawatankuasa ini memohon agar representasi-representasi tersebut adalah untuk tujuan reformasi institusi dan isu-isu institusi dan yang tidak mengenai sebarang ketidakpuashatian peribadi atau salah laku pegawai awam.

Jawatankuasa ini akan sekiranya perlu, menjemput individu-individu dan kumpulan-kumpulan tersebut untuk mesyuarat secara bersemuka.

Diisu oleh Sekretariat

Majlis Penasihat Kerajaan

21 Mei 2018

Jawatankuasa Pembaharuan Institusi

Kenyataan Media

Jawatankuasa Pembaharuan Institusi telah mengemukakan “Laporan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi” bertarikh 16 Julai 2018 kepada Majlis Penasihat Kerajaan. Jawatankuasa ini akan berjumpa dengan Majlis tersebut minggu ini untuk memberikan taklimat kepada mereka mengenai cadangan-cadangan yang telah dibuat.

Laporan tersebut mengandungi cadangan-cadangan mengenai tujuh institusi utama serta pembaharuan kepada undang-undang yang menyekat kebebasan asasi. Cadangan-cadangan ini adalah apa yang kami anggap sebagai langkah-langkah yang perlu untuk pembaharuan yang diperlukan oleh negara. Bahagian-bahagian pembaharuan yang telah kami periksa adalah:

1. Parlimen
2. Pilihan Raya
3. Badan Kehakiman
4. Pegawai Undang-Undang dan Perkhidmatan Undang-undang
5. Pencegahan Rasuah
6. Polis dan Imigresen
7. Komunikasi, Media dan Maklumat
8. Institusi-institusi dan Undang-undang Hak Asasi Manusia

Dalam masa menjalankan kerja Jawatankuasa ini, kami juga telah membuat beberapa cadangan segera kepada Majlis Penasihat Kerajaan mengenai perkara-perkara yang kami anggap perlu diberi perhatian dengan segera, di mana kebanyakkannya telah dimasukkan ke dalam Laporan tersebut.

Dalam menyediakan Laporan tersebut, Jawatankuasa ini telah mendapat manfaat daripada perwakilan individu-individu dan organisasi-organisasi yang telah mengemukakan cadangan bertulis dan secara lisan kepada kami. Ini telah memberikan kami maklumat penting dan telah membentuk pemikiran kami mengenai masalah yang memerlukan langkah-langkah pemulihan. Jawatankuasa ini telah menerima kira-kira 1,000 cadangan, surat dan e-mel daripada orang awam. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua pihak yang telah meluangkan masa untuk memberi cadangan-cadangan kepada Jawatankuasa ini dan kepada mereka yang telah menghadiri sesi-sesi dialog bersama kami.

Terdapat beberapa cadangan bertulis yang, walaupun tidak berkaitan secara tepat dengan skop kajian kami, telah membangkitkan isu-isu yang memerlukan perhatian. Kami akan mengemukakannya kepada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan untuk tindakan mereka.

Terdapat beberapa bahagian mengenai kepentingan nasional yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat ini. Kami telah mencadangkan agar kajian lanjut dijalankan mengenai isu-isu tersebut.

Terdapat beberapa cadangan berkaitan masalah-masalah peribadi yang kami tidak dapat mengambil tindakan kerana ianya adalah di luar lingkungan tugas Jawatankuasa ini.

Jawatankuasa ini ingin mengiktiraf penghormatan yang diberikan untuk menggalas tugas ini dalam konteks Malaysia baru. Kami juga bersyukur kerana mendapat bantuan daripada kumpulan sokongan sukarela yang berkebolehan dan Sekretariat yang efisien.


Jawatankuasa Pembaharuan Institusi
17 Julai 2018

Dato’ KC Vohrah (Pengerusi)
Dato’ Ambiga Sreenevasan
Dato’ Mah Weng Kwai
Brig Gen Dato’ Mohamed Arshad Raji (Rtd)
Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi